Hari ini aku berbual panjang dengan isteriku.

Aku dapat tahu bahawa seorang kawan yang setahun di bintulu akhirnya dapat bertukar ke Kuala Lumpur.

Rezeki dia.

Aku dapat merasakan kesedihan tatkala mengenangkan keadaan kami yang terpisah dan hanya bertemu sebulan sekali.

Setelah puas berbual, aku diberi peringatan olehNya melalui lidah seorang yang beriman. Peringatan yang diberikan sama seperti peringatan yang pernah aku terima suatu masa dahulu.

Aku diberi rezeki anak perempuan yang sihat dan sempurna. Malah Husna tidak mengalami masalah-masalah pelik sebagaimana yang diperlihatkan di TV. Rezeki anak adalah kurniaan yang amat besar. Ramai di dunia ini tidak mempunyai anak. Mereka telah mencuba berbagai benda, membelanjakan berpuluh malah beribu ringgit untuk mendapatkan cahaya mata, tapi tidak diizinkan olehNya.

Andai mereka ini diberi pilihan untuk berjauhan dengan isteri tapi hanya berjumpa dua hari sebulan, tapi dapat anak, mereka akan memilih yang itu.

Aku diberi rezeki masih berterusan dalam kerja islam ini. Rezeki ini juga kurniaan yang sangat besar. Ramai orang di Malaysia, dahulu semasa belajar atau semasa bujang, sangat aktif dan bersungguh-sungguh dalam medan kerja islam ini. Selepas bekerja atau berkahwin, ramai yang meninggalkan jalan ini satu persatu sehinggakan 'amal untuk islam' hilang dari roh mereka ... malah dicabut cahaya daripada wajah mereka sehinggakan alam membenci mereka, walaupun pada masa yang sama mereka diberi kelebihan dapat keluarga yang sejahtera, kerja yang bagus dan kehidupan yang amat selesa....

Andai aku diberi pilihan untuk merasai nikmat seperti mereka dan menjadi orang yang meninggalkan jalan ini, aku tidak sanggup dan aku takut...

Ya tuhan. Aku memohon ampun atas kesalahanku terhadapMu. Jauhilah aku dan keluargaku dari bersangka kurang baik terhadapMu. Sesungguhnya kami amat bersyukur atas kasih sayang dan rahmatMu terhadap kami semua. Peliharalah hati kami.

Comments

Popular posts from this blog

Germany