Hari-hari yang berlalu mengajar kita berbagai perkara melalui pengalaman. Hakikatnya Dia yang mengajarkan kita apa yang kita tak ketahui.

Beruntunglah kalau seseorang itu makin memahami realiti kehidupan dan kehendak Tuhan apabila usianya makin bertambah, yang mana menjadikan dirinya semakin kuat dan bersungguh-sungguh dalam beramal.

Dahulu kita sangat jahil dan tidak sedar akan realiti hidup. Di saat itu kita bermain-main dengan kehidupan. Di saat itu kita mementingkan kehidupan diri sendiri, kerana itulah perkara yang kita anggap paling besar. Di saat itu kita tidak merasa peduli akan nasib umat ini, apatah lagi hakikat kehidupan. Masa itu barangkali kita masih di sekolah, di universiti dan barangkali masih bekerja.

Kemudian, di suatu saat kita disedarkan oleh seseorang. Kita terkejut lalu mula berubah. Kita mula mendalami hakikat kehidupan. Kita mula ingin belajar. Semakin banyak kita tahu, semakin terbuka pemandangan kita terhadap kehidupan. Akhirnya kita tidak lagi seperti dahulu. Kita mula bergerak dan mengubah orang lain. Selalunya ketika itu kita di universiti atau bekerja.

Namun, kesedaran itu tidak kekal bagi sesetengah dari kita. Kesibukan terhadap kehidupan menyebabkan kita sedikit demi sedikit kembali kepada keadaan lupa dan jahil itu. Sesetengahnya terhenti sama sekali. Ketika itu, pengetahuannya terhadap hakikat kehidupan terhenti di situ sahaja.

Walaupun begitu, ada yang makin bertambah kefahamannya. Semakin meningkat usianya, semakin mantap dia berusaha untuk menyedarkan orang lain. Pada masa yang sama, semakin faham akan realiti kehidupan kerana Dia membuka pengetahuanNya kepada orang itu.

Aku berharap diriku dan teman-temanku diberi kekuatan dan kefahaman yang lebih dalam realiti kehidupan ini. Moga kita tak terhenti dan tak kembali menjadi orang yang tak tahu.

Comments

Popular posts from this blog

Germany